Gambar di atas adalah jutawan Arab Saudi yang berjaya mengubah hidup
beliau daripada seorang rakyat miskin hingga berjaya mengumpul kekayaan,
Sulaiman Al-Rajhi, merupakan seorang dermawan yang terkenal di dunia.
Beliau adalah pengasas Bank Al-Rajhi, bank Islam terbesar di dunia, dan salah satu daripada syarikat terbesar di Arab Saudi.
Sehingga 2011, kekayaan beliau telah dianggarkan oleh majalah Forbes,
bernilai sebanyak AS$ 7.7 bilion sekali gus disenaraikan sebagai orang
ke-120 yang terkaya di dunia.
Yayasan Saar milik beliau adalah sebuah organisasi amal yang terkenal di negara tersebut.
Keluarga Al-Rajhi dianggap sebagai salah satu daripada keluarga kaya
yang BUKAN daripada keluarga diraja, dan mereka adalah antara dermawan
terkemuka di dunia.
Walaupun Al-Rajhi adalah seorang jutawan, tetapi beliau memilih untuk
menjadi ‘miskin’ sehinggakan beliau tidak mempunyai sebarang wang dan
juga saham yang dimiliki beliau sebelum ini.
Keadaan tersebut terjadi apabila beliau memindahkan kesemua aset yang
dimiliki kepada anak-anak beliau dan mendermakan aset-aset yang
selebihnya.
Bagi menghargai jasa beliau terhadap dunia Islam, termasuk mengasaskan
bank Islam terbesar dunia dan juga segala usaha yang dijalankan untuk
membasmi kemiskinan, Al-Rajhi telah dipilih untuk menerima Anugerah
Antarabangsa Raja Faisal atas jasa beliau kepada Islam.
Dalam satu wawancara yang dibuat oleh Muhammad Al-Harbi dari
Al-Eqtisadiah Business Daily, Al-Rajhi menceritakan tentang bagaimana
beliau mampu meyakinkan ketua-ketua bank di dunia, termasuk Bank of
England, hampir 30 tahun lalu, bahawa bayaran ‘faedah’ adalah sesuatu
yang haram bagi kedua-dua agama iaitu Islam dan Kristian, dan bank
secara Islam adalah penyelesaian yang terbaik bagi menaikkan taraf
ekonomi dunia.
Kisah Al-Rajhi berkisarkan tentang bagaimana seseorang itu meraih kekayaan dari bawah.
Beliau terpaksa melalui kesusahan ketika beliau kecil sebelum menjadi
kaya, dan kemudiannya meninggalkan segala harta yang ada setelah
mengecapi kejayaan.
Al-Rajhi masih lagi aktif dalam bekerja walaupun usia beliau telah mencecah lebih daripada 80 tahun.
Beliau memulakan tugas harian sejurus selepas solat Subuh dan terus bekerja hingga selepas solat Isyak.
Beliau kini sedang memberikan tumpuan terhadap Yayasan SAAR, dengan
berulang-alik di negara-negara Arab bagi menguruskan segala hal-hal yang
berkaitan dengan yayasan tersebut.
Beliau sering membawa diari kecil untuk mencatatkan aktiviti harian
beliau dan sentiasa memastikan tidak akan terlepas dari satu aktiviti
pun.
Al-Rajhi juga merupakan seorang yang amat berjaya dalam apa jua bidang yang beliau ceburi.
Selain daripada mengusahakan bank Islam terbesar dunia, beliau juga
telah mengasaskan ladang binatang ternakan yang terbesar di Timur
Tengah.
Daripada segi perladangan, beliau telah menjalankan banyak eksperimen
ternakan secara organik di negara-negara Arab, termasuk perladangan
udang Al-Laith. Beliau juga turut mengasaskan perniagaan hartanah dan
juga beberapa lagi pelaburan.
Temubual:
Sheikh Suleiman, adakah anda kini telah menjadi miskin semula?
Ya. Kini apa yang saya miliki hanyalah pakaian-pakaian saya. Saya telah
membahagikan harta saya kepada anak-anak dan juga mendermakan selebihnya
untuk menjalankan projek-projek amal. Ini bukanlah sesuatu yang aneh
bagi saya. Kedudukan kewangan saya kini telah menjadi kosong sebanyak
dua kali dalam hidup saya. Jadi, saya amat faham akan keadaan ini.
Namun, kini perasaan itu dipenuhi dengan kegembiraan dan juga
ketenangan. Sememangnya saya yang memilih untuk menjadi miskin.
Mengapa berbuat begitu?
Segala kekayaan dimiliki oleh Allah s.w.t, kita hanyalah ditugaskan
untuk menjaga kekayaan tersebut. Ada beberapa sebab mengapa saya memilih
untuk memilih jalan ini. Antara sebab-sebab utamanya adalah saya perlu
menjaga sahabat-sahabat Islam dan juga anak-anak saya. Ia adalah antara
perkara yang paling penting dalam hidup. Saya juga tidak suka untuk
membuang masa di mahkamah hanya kerana ada antara mereka yang tidak
bersetuju dengan jumlah harta yang diwariskan kepada mereka. Terdapat
banyak contoh di mana anak-anak mula berpecah hanya kerana harta yang
kemudiannya menghancurkan syarikat. Negara ini telah banyak kehilangan
syarikat-syarikat besar kerana perbalahan harta yang boleh diselesaikan
jika kita mencari jalan penyelesaian yang lebih berkesan. Selain
daripada itu, setiap umat Islam perlu bersedekah sebagai bekalan pahala
di akhirat kelak, Jadi, saya lebih suka jika anak-anak saya mencari
kekayaan sendiri daripada bergantung dengan saya.
Adakah Sheikh mempunyai banyak masa terluang setelah membahagikan kesemua harta?
Seperti yang telah saya maklumkan tadi, saya masih lagi bekerja keras
untuk mendapatkan lebih derma. Saya telah bekerjasama dengan pelbagai
agensi bagi menjayakan projek ini. Secara kebiasaanya, umat Islam sering
membahagikan satu per tiga ataupun suku daripada kekayaan mereka untuk
bersedekah yang hanya akan diberikan setelah mereka meninggal dunia.
Namun, bagi saya, saya mahu mula bersedekah ketika saya masih hidup.
Jadi, saya telah membawa anak-anak saya ke Mekah pada hujung bulan
Ramadhan dan memberitahu mereka idea saya. Mereka bersetuju terhadap
idea tersebut. Saya telah meminta bantuan daripada agensi-agensi yang
berkaitan untuk membahagikan kesemua harta saya termasuk saham dan juga
hartanah kepada anak-anak dan juga untuk didermakan. Kesemua anak-anak
saya berpuas hati terhadap inisiatif saya dan mereka kini sedang
menguruskan segala harta yang saya berikan kepada mereka.
Berapa banyak harta yang dibahagikan kepada anak-anak dan juga untuk didermakan?
Beliau tergelak tanpa memberi sebarang jawapan.
Apakah perasaan Sheikh terhadap kesemua projek yang sedang dijalankan?
Saya ingin menegaskan bahawa terdapat beberapa faktor yang saya ambil
sebelum melakukan sebarang pelaburan. Eksperimen yang saya lakukan
terhadap pertukaran wang adalah salah satu daripada sebab mengapa saya
mengasaskan bank. Ketiadaan bank Islam juga menjadi antara sebab mengapa
saya mula mengasaskan Bank Al-Rajhi, yang kini merupakan bank Islam
terbesar di dunia. Saya mulakan eksperimen saya dengan membuka pejabat
di Britain dimana kami mula memperkenalkan sistem perbankan Islam ke
peringkat yang lebih besar. Eksperimen tersebut kemudiannya mula
berkembang dan ia mula mendapat sokongan daripada ulama-ulama Saudi pada
ketika itu. Saya masih ingat lagi bagaimana permohonan saya untuk
mendapatkan lesen untuk membuka bank tidak diterima pada mulanya. Ini
adalah kerana pihak British tidak memahami apa-apa pun tentang sistem
perbankan Islam. Saya kemudiannya pergi ke London dan berjumpa dengan
Pengurus Bank of England dan dua daripada pegawai kanan beliau. Saya
memberitahu mereka bahawa penggunaan faedah adalah haram bagi Islam dan
juga Kristian dan kebanyakan daripada mereka sanggup menyimpan wang
mereka di dalam kotak di rumah daripada menyimpan di dalam bank. Saya
cuba untuk meyakinkan mereka bahawa (jika mereka mula membuka bank
Islam) ini mampu menaikkan taraf ekonomi dunia. Mereka akhirnya
bersetuju untuk mula membuka bank-bank Islam. Saya kemudiannya mula
mengembara ke serata dunia di bahagian Timur dan Barat, dan berjumpa
dengan ketua-ketua bank negara di beberapa buah negara dan memberitahu
mereka bagaimana ciri-ciri yang terdapat dalam dunia ekonomi Islam. Kami
mula bekerja dan mencapai kejayaan di negara-negara Arab dan
melaksanakan perbankan Islam di London, saya kemudiannya berjumpa dengan
Mufti Besar Sheikh Abdul Aziz bin Baz dan Sheikh Abdullah bin Humaid,
dan memberitahu mereka tentang rancangan saya bahawa : ‘Kita mampu,
dengan izin Allah, memajukan perbankan Islam. Mereka memuji saya atas
inisiatif yang saya jalankan. Dari situlah kami mula mengusahakan Bank
Al-Rajhi seperti mana yang anda dapat lihat hari ini. Bagi projek Ladang
Ternakan Al-Watania pula, saya mula mendapat inspirasi untuk
menjalankan projek tersebut apabila melawat ladang ternakan di luar
negara. Saya dapati bahawa cara mereka menyembelih adalah salah. Saya
kemudiannya mengambil keputusan untuk melabur dalam bidang ternakan atas
nama Islam dan negara. Saya tetap menjalankan projek tersebut walaupun
membuat pelaburan dalam industri ternakan adalah sesuatu yang agak
berisiko pada masa tersebut. Kini, Al-Watania telah menjadi salah satu
daripada projek mega di Saudi. Syarikat tersebut mendapat 40 peratus
daripada saham di negara-negara Arab, dan ayam-ayam Al-Watania diberikan
makanan yang cukup dan disembelih dengan cara yang halal menurut
undang-undang syariah.
Walaupun dengan semua kekayaan yang dimiliki, mengapa syeikh tidak mempunyai satu pun kapal terbang sendiri?
Saya ada banyak kapal terbang, tetapi kesemuanya dimiliki oleh
syarikat-syarikat penerbangan tertentu. Saya memilikinya setiap kali
saya membayar tiket penerbangan untuk ke satu-satu destinasi (gurauan).
Saya sering terbang dengan kadar kelas ekonomi kerana Allah tidak
memberikan kita harta untuk ditunjuk-tunjuk.
Bagaimana pula dengan hobi syeikh?
Saya tidak mempunyai sebarang hobi yang khusus. Bagaimanapun, saya suka
mengembara di padang pasir. Saya tidak pernah mengambil pakej percutian
di negara-negara lain selain dari Saudi.
Ketepatan masa Al-Rajhi
Wawancara ini telah menunjukkan bagaimana disiplin Al-Rajhi dalam
menepati masa. “Pada awal karier saya dalam industri, saya mempunyai
beberapa perjumpaan dengan beberapa syarikat besar di Eropah. Saya masih
ingat lagi kisah dimana saya terlambat selama beberapa minit dalam satu
perjumpaan dengan salah seorang pegawai besar sebuah syarikat. Walaupun
hanya beberapa minit, beliau tidak mahu meneruskan perjumpaan tersebut.
Selepas kejadian tersebut, setelah projek kami mula berkembang, pegawai
yang sama pula lambat untuk berjumpa dengan saya, jadi, saya pula yang
tidak mahu meneruskan perjumpaan tersebut. Saya sering membawa kertas
untuk menulis segala perjumpaan dan urusan dan sentiasa memastikan agar
saya sering menepati masa walau apa pun.”
Al-Rajhi berkata lagi: Saya amat menepati segala perkara yang diterapkan
dalam Islam sepanjang hidup saya. Saya pernah mendapat undangan
daripada kerajaan Arab untuk menghadiri satu persidangan yang berkaitan
dengan pelaburan. Kemudiannya, dalam persidangan yang sama, saya
dijemput untuk mengambil bahagian dalam majlis makan malam mereka, saya
dapati bahawa antara aktiviti yang dijalankan ketika majlis tersebut
adalah bertentangan dengan ajaran Islam. Saya kemudiannya keluar dari
majlis makan malam tersebut. Kemudian, Abdul Aziz Al-Ghorair dari UAE
turut serta bersama saya. Tidak lama selepas itu, menteri yang
bertanggungjawab terhadap persidangan tersebut datang kepada kami dan
kami mula menerangkan kepada beliau bahawa aktiviti yang dijalankan di
majlis tersebut adalah bertentangan dengan budaya Islam. Beliau
kemudiannya berkata bahawa aktiviti-aktiviti di majlis tersebut akan
dibatalkan. Apabila mereka membatalkan aktiviti tersebut, kami kembali
menyertai majlis tersebut.
Penyelesaian Masalah
Al-Rajhi berkata: Pada satu masa, salah satu daripada kilang yang
diuruskan oleh anak saya habis dijilat api. Apabila dia datang untuk
memaklumkan perkara tersebut kepada saya, saya memberitahu: Sebut
Alhamdulillah. Saya meminta anak saya supaya tidak membuat sebarang
laporan tentang kerugian yang dialami bagi meminta pampasan daripada
pihak berkuasa. Sebaliknya, pampasan yang diberikan oleh Allah adalah
lebih penting bagi kita. Assam Al-Hodaithy, Pengurus Kewangan bagi
syarikat Ternakan Al-Watania berkata: “Apabila kilang tersebut terbakar,
kami telah membuat keputusan untuk tidak menyakiti hati Al-Rajhi dengan
memberitahu beliau tentang apa yang terjadi. Kami kemudiannya berjumpa
dengan beliau keesokan harinya dan memberitahu akan perkara yang
terjadi, beliau mengarahkan kami untuk berpindah ke tempat lain dan
membersihkan segala kerosakan sehingga semuanya dibaiki.” Perkara yang
sama terjadi di satu lagi projek Al-Watania di Mesir. Syarikat tersebut
kerugian kira-kira SR10 juta Pound Mesir. Apabila pegawai projek
tersebut menghubungi Al-Rajhi untuk memberitahu perkara tersebut, beliau
terkejut apabila Al-Rajhi menjawab dengan menyebut: “Alhamdulillah.”
Kita .... kita.... ???