Friday, 9 November 2012

SEKADAR RENUNGAN TIKA INI :)







A. PENYEDIAAN KEPERLUAN ASAS UMRAH


1. Mula mencari-cari dan mengenal pasti agensi pengendali Umrah yang bersesuaian menerusi iklan-iklan dalam akhbar harian atau mingguan atau layari internet.

2. Bertanya saudara mara atau sahabat handai yang banyak pengalaman tentang ibadah Umrah itu tentang latar belakang serta keupayaan perkhidmatan agensi Umrah yang telah dikenal pasti itu.

3. Dapatkan beberapa sebut harga dan brosur daripada agensi-agensi pengendali Umrah yang telah sedia terkenal dalam pengendalian ibadah Umrah ini untuk mendapatkan perbandingan harga dan perkhidmatan yang ditawarkan.

4. Jangan mudah terpedaya dengan tawaran harga yang terlalu murah dan daripada agensi yang tidak ternama dan kurang dikenali kerana banyak kes di mana jemaah tertipu, duit lebur dan hasrat mereka mengerjakan Umrah terbengkalai.

5. Teliti setiap iklan yang ada terutama tentang harga, tawaran perkhidmatan, tempat penginapan di Madinah dan Makkah serta program ziarah yang ditawarkan.

6. Buat perbandingan antara harga dan tawaran-tawaran perkhidmatan yang diperolehi itu bagi mendapatkan pilihan yang terbaik dalam aspek dan kemampuan kewangan anda.

7. Rujuk dengan rakan-rakan atau saudara mara yang pernah berkunjung ke tanah suci untuk mengenal pasti agensi pengendali yang terbaik dan bertanggungjawab serta kesahihan mutu perkhidmatannya.

8. Sebaik-baiknya dirikan solat sunat istikharah bagi mendapatkan petunjuk Allah SWT kerana petunjuk daripada Allah itulah yang maha benar, tepat dan betul.

9. Bertindaklah dengan bijaksana setelah diberikan petunjuk oleh Allah SWT dan janganlah berbelah bagi lagi atau ragu-ragu atas petunjuk tersebut.

10. Bertindaklah dengan cepat kerana masa adalah begitu terhad kerana dikhuatiri tiada kekosongan tempat disebabkan tempahan yang begitu banyak terutama di musim cuti sekolah.

11. Buat keputusan dengan segera dan tepat kerana Umrah memerlukan penempahan tiket kapal terbang dan permohonan Visa yang lazimnya sering mendatangkan masalah terutama sekiranya terdapat penyertaan yang lewat atau di saat-saat akhir.

12. Buat bajet yang terperinci tentang keseluruhan kos pelaksanaan Umrah berkenaan saperti bilangan ahli yang akan menyertainya, berapa orang dewasa dan berapa orang kanak-kanak bawah umur 12 tahun, jenis penempatan sama ada berdua sebilik atau berkongsi 3, 4 atau 5 orang sebilik.

13. Bertindak mengiikut bajet serta kemampuan kewangan yang mantap dan stabil sebelum membuat sebarang pembayaran kerana tindakan yang tidak berdasarkan kemampuan boleh mendatangkan masalah dan kesusahan di hari kemudian.

14. Anda wajib memahami peraturan sekiranya anda membatalkan program Umrah berkenaan disebabkan oleh kekurangan bajet maka anda akan kehilangan sebahagian daripada wang tersebut apabila dipulangkan semula oleh pihak agensi tambahan pula sekiranya pembatalan atau penarikan diri kita itu dilakukan pada saat-saat terakhir atau berhampiran dengan tarik keberangkatan.

15. Sahkan penyertaan anda dengan mana-mana agensi pengendali Umrah yang telah dipilih itu dengan melengkapkan borang penyertaan dan mengemukakan bayaran pendahuluan mengikut jumlah yang telah ditetapkan oleh agensi berkenaan.

16. Jangan gunakan wang tunai untuk menjelaskan wang pendahuluan berkenaan dan uruskan kewangan yang selanjutnya terutama sekiranya anda mengunakan perkhidmatan wakil agensi berkenaan. Sebaliknya gunakan cek atau bank draf atas nama agensi berkenaan bagi memastikan tiada berlaku sebarang penipuan atau penyelewengan.

17. Dapatkan resit rasmi pembayaran dan simpan resit berkenaan untuk rujukan dan tindakan sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini di kemudian hari kelak.

18. Buka satu fail khusus untuk menyimpan segala maklumat, resit-resit pembayaran dan segala yang berkaitan dengan Umrah yang bakal dilaksanakan itu.

19. Dalam tempoh tersebut pastikan setiap peserta atau ahli keluarga yang ingin menyertai program Umrah memiliki passport antarabangsa yang tempoh sah lakunya wajib melebihi 6 bulan serta masih mempunyai 6 muka surat kosong yang berturutan.

20. Bertindak segera sekiranya terdapat passport antarabangsa yang telah tamat tempoh sah lakunya kurang dari 6 bulan atau kurang daripada 6 helai muka surat atau masih belum memilki passport antarabangsa.

21. Pergi ke pejabat Imigresen yang berhampiran untuk memperbaharui passport yang telah tamat tempoh atau tidak menepati kehendak yang sepatunya itu. Bagi yang belum memilki passport sila uruskan permohonan memilki sebuah passport yang baru.

22. Pada masa yang sama juga sediakan 4 keping gambar terbaru berukuran 4cm X 6cm dan berlatar belakang putih. Ukuran wajah pada gambar juga haruslah dalam kadar 70%-80% daripada keluasan gambar. Ini adalah peraturan Visa kerajaan Arab Saudi yang wajib dipatuhi dan semua kedai gambar di seluruh Negara maklum serta memahami kehendak ini.

23. Sediakan juga dokumen-dokumen berikut untuk dikepilkan bersama sewaktu permohonan Visa Umrah yang akan diuruskan oleh pihak agensi. Sila rujuk INFORMASI - KEPERLUAN VISA dalam website ini.

24. Dapatkan suntikan ACYW 135 yang diwajibkan oleh kerajaan Arab Saudi bagi setiap jemaah yang memasuki Negara berkenaan.

25. Dapatkan bukut pengesahan suntikan tersebut untuk diserahkan kepada agensi pengendali Umrah sebagai dokumen wajib bagi permohonan Visa Umrah kelak.

26. Serahkan dokumen dokumen dan keperluan kepada pihak agensi dengan kadar segera selewat-lewatnya satu bulan sebelum tarikh keberangkatan bagi memastikan Visa Umrah dapat dikeluarkan sebelum tarikh penerbangan.

27. Pastikan anda dan setiap peserta Umrah bersama anda menerima cenderamat daripada pihak agensi pada hari pendaftaran atau bila-bila masa sebelum berangkat.


B. PERSEDIAAN ILMU & PENGETAHUAN


28. Hadiri kursus-kursus yang dianjurakan oleh pihak agensi Umrah bagi mendapatkan bimbingan serta gambaran sebenar tentang ibadah Umrah yang bakal dilaksanakan itu.

29. Wajibkan diri menghadiri kursus-kursus ini kerana Umrah adalah suatu pekerjaan yang disyariatkan oleh Allah SWT sebagai sebuah ibadah yang penuh dengan peraturan dan pantang larang yang wajib dipatuhi dan akan mengundang kemurkaan serta laknat Allah SWT sekiranya diperlekehkan atau dibuat sambil lewa.

30. Berazam serta bertekad pada diri sendiri untuk melakukan Umrah yang terbaik kerana Umrah adalah ibadah kembar atau perintis kepada pelaksanaan ibadah Haji yang menjadi kefardhuan kepada setiap mukmin yang beriman dan bertaqwa kepada Allah SWT serta termaktub sebagai rukun Islam yang kelima yang wajib dipatuhi.

31. Beli serta baca buku-buku yang menghuraikan secara komprehensif dan panjang lebar serta serba lengkap tentang kelebihan dan keutamaan ibadah Umrah berkenaan terutama tentang hukum hakam, falsafah, hikmah dan fadilatnya juga tentang beraneka pantang larang, rintangan serta cabaran yang bakal ditempuhi oleh para peserta sepanjang melaksanakan ibadah berkenaan.

32. Insafi bahawa ibadah Umrah itu bukannya sejenis pelancongan yang sering ditafsirkan oleh sesetengah jemaah atau orang orang Islam yang cetek dan dangkal pengetahuannya. Ia adalah ibadah yang boleh mendekatkan kita kepada syurga-Nya yang penuh nikmat, kebahaiaan dan kelazatan itu.

33. Insafi juga bahawa ibadah Umrah yang dilaksanakan secara sambil lewa atau tangkap muat serta penuh dengan kesalahan dan kesilapan itu bakal mengundang kemurkaan serta kebencian Allah yang penuh azab serta teramat pedih dan negeri seksaannya.

34. Belik dan tonton VCD, DVD yang memaparkan secara visual atau gambaran sebenar tatacara pelaksanaan ibadah Umrah berkenaan. Dengan menonton VCD, DVD tersebut, anda akan dapat gambaran tentang rupa bentuk Baitullah atau Kaabah, Masjidil Haram, Masjid Nabawi, Maqam Ibrahim, hijir Ismail, Padang Arafah, Jabal Rahmah, Jabal Uhud dan sebagainya itu dengan terang dan nyata.

35. Tontonlah berkali-kali tanpa bosan dan jemu kerana disamping memantapkan kefahaman anda berkaitan dengan ibadah tersebut ia boleh menggamit penghayatan dan menimbulkan keghairahan untuk segera ke tanah suci berkenaan bagi menyempurnakan ibadah impian tersebut.

36. Beli lagi VCD, DVD atau buku-buku lain yang membicarakan bab Umrah ini kerana VCD, DVD atau buku-buku lain pula pendekatan atau skop pemberitaannya. Kesemuanya itu saling lengkap melengkapi dan berkesinambungan antara satu dengan yang lain.

37. Jangan sayang duit untuk membeli bahan-bahan rujukan tersebut kerana dengan menonton dan membacanya, pengetahuan anda akan bertambah mantap serta kukuh. Umrah yang dilaksanakan dengan sepenuh pengetahuan akan menghasilkan kualiti yang tinggi dan mampu menjadi suatu persembahan yang diterima dan disukai oelh Allah SWT serta layak diganjari dengan syurga.

38. Kurangkan amalan suka menonton filem-filem yang mengandungi pelbagai unsure ganas, lucah, pendedahan aurat yang menggiurkan serta cerita-cerita tidak bermoral yang penuh dengan firnah, sensasi, hasad dengki, tahyul dan kurafat serta pergaulan lelaki dan wanita yang tidak selara dengan syariat Islam itu.

39. Hentikan hobi atau kegemaran suka berhibur dan lain-lain kerana ia melalai dan melaghakan diri serta boleh menodai kesucian iman dan taqwa anda kepada Allah SWT serta menghakis kekhusyukan ibadah solat, puasa dan amal jariah anda.

40. Kurangkan juga amalan suka mendengar lagu-lagu dan muzik-muzik yang mengkhayalkan jiwa dan perasaan kerana muzik tersebut ibarat panah beracun yang dilepaskan oleh syaitan untuk memesongkan perhatian anda daripada mengingati Allah.

41. Gantikan kegemaran mendengar lagu-lagu yang mengghairahkan itu dengan nasyid-nasyid yang memuji kebesaran serta keagungan Ilahi atau mendengar serta menghayati suara orchestra alam yang dihasilkan oleh bunyi-bunyi air terjun, ombak laut, bayu dan seumpamanya.

42. Jinakkan diri dengan Al-Quran dengan mendengar bacaan ayat-ayat suci berkenaan melalui VCD, DVD yang banyak terdapat di pasaran.

43. Amalkan membaca Al-Quran serta wajibkan diri membaca kitab suci itu sekurang-kurangnya 10 ayat sehari.

44. Pertingkatkan amalan membaca Al-Quran itu hingga ke tahap satu juz sehari. Beli Al-Quran yang dijilid khas sejuzuk-sejuzuk yang terdapat di kedai-kedai buku Islam supaya mudah dibawa dibawa ke mana sahaja anda pergi untuk dibaca bila sahaja terdapati masa terluang sama ada di pejabat atau di rumah.

45. Latih diri membaca Al-Quran yang ada terjemahan ayat-ayat supaya mesej serta kandungan kitab suci tersebut meresap dan menerobos ke dalam diri dan sanubari anda di samping dapat membantu anda meningkatkan keimanan dan ketaqwaan anda kepada Allah SWT.

 


C. PERSEDIAAN MINDA & PENGHAYATAN

46. Tenangkan minda yang berserabut dengan beraneka urusan dan hal ehwal keduniaan yang penuh dengan kecelaruan, kelalaian dan kealfaan itu dengan menghadiri majlis-majlis ilmu yang banyak terhidang secara percuma di hampir setiap surau atau masjid di tempat permastautinan anda itu.

47. Mantapkan minda yang bakal dibawa ke tanah suci Makkah dan Madinah serta bakal berhadapan dengan Baitullah yang mulia dan agung itu dengan ilmu-ilmu fiqah, tasauf dan tauhid yang disajikan dalam kuliah-kuliah maghrib dan subuh di masjid-masjid atau di surau-surau yang berhampiran dengan rumah kediaman anda.

48. Juruskan minda yang ingin menjai TETAMU ALLAH dan berjemaah bersama-sama jemaah Islamiah dari seluruh dunia dan nusantara Islam dalam Masjidil Haram dan Masjid Nabawi yang mulia dan agung itu dengan mengamalkan solat berjemaah saban waktu di masjid atau surau yang berhampiran dengan tempat tinggal masing-masing.

49. Latih diri dan biasakan minda dengan keadaan serta suasana orang ramai saperti di pasar malam, di stadium perlawanan bola sepak, di pasar, di perhimpunan pemimpin bersama rakyat supaya menjadi biasa dan serasi dengan beraneka ragam manusia dan fenomena seperti berasakan, berhimpitan, bertolakan, tersinggul dan seumpamanya yang bakal berlaku sewaktu mengerjakan Umrah itu kelak.

50. Latih minda supaya serasi dan selesa serta seronok dan ceria berada dalam kumpulan orang ramai yang beraneka tingkah laku serta sosio budaya itu. Pengalaman ini amat berguna untuk menserasikan diri dengan suasana sesak dan padat yang bakal ditemui sewaktu bersolat di dalam Masjidil Haram, Masjid Nabawi dan juga sewaktu menyempurnakan ibadah tawaf mengelilingi Baitullah dan bersaie ulang alik antara Bukit Safa dan Bukit Marwah itu kelak.

51. Jurus dan budayakan minda dengan mendidiknya supaya tidak janggal dengan suasana berebut-rebut seperti berlatih keluar daripada stadium selepas menyaksikan sesuatu acara sukan kerana pengalaman tersebut amat berguna bagi membantu para jemaah bakal-bakal Umrah bersaing dalam arus perdana perjuangan yang sengit sewaktu mencium Hajar Aswad, berdoa di Multazam atau bersolat dalam Hijir Ismail.

52. Budayakan minda supaya dapat menerima tolakan, asakan, himpitan dan seumpamanya itu dengan perasaan yang tenang dan sabar serta tidak mudah melatah, marah-marah, melenting atau disepuh sifat dan perasaan ingin bertindak balas atau membalas dendam.

53. Latih minda dan perasaan agar mudah tersentuh, terhayat serta mengalirkan air mata keinsafan apabila melihat dan berhadapan dengan fenomena keindahan alam ciptaan Iilahi yang selama ini kian dilupakan disebabkan seperti senja di tepi laut, panorama bulan purnama, air terjun, sawah padi yang luas terbentang dan seumpamanya.

54. Ambil iktibar terhadap zat dan kebesaran Allah SWT dengan menghayati panorama indah sewaktu fajar menyinsing di ufuk timur dan senja berlabuh di ufuk barat, menghayati kesyahduan dan kesenduan suasana ketika unggas-unggas berterbangan pulang ke sarang dengan penuh kepatuhan dan kepasrahan terhadap setiap ketentuan yang ditetapkan oleh Allah Azawajalla itu.

55. Hayati kesyahduan dan kesenduan irama alam yang dialunkan oleh laungan azan yang dayu mendayu serta saling bertingkahan pada waktu Maghribm Isya’ dan Subuh yang sunyi sepi dan hening itu.

56. Latih minda menghayati keharmonian irama dan kesepaduan bunyi sewaktu air terjun terhempas di batu-batu pejal, sewaktu ombak terdampar di gigi pantai, sewaktu bayu yang selembut setura menyisiri diri di celah dedaunan kayu serta kicauan unggas dan mergastua yang membentuk suatu adunan bunyi yang meruntun perasaan.

57. Insafi dan iktabari kemurkaan Allah SWT yang dipaparkan menerusi fenomena kilat yang sambar menyambar, petir dan guruh yang saling berentuman menggegar bumi, angin rebut, taufan dan putting beliung yang menerbangkan rumah dan mencabut pepohonan daripada kar tunjangnya serta hujan yang mencurah-curah lau mengakibatkan banjir dan limpahan air yang menenggelamkan rumah dan tempat kediaman.

58. Tingkatkan amalan harian dan peribadahan ritual anda saperti menunaikan solat fardhu dengan lebih sempurna saperti di awal waktu dan berjemaah, solat-solat sunat rawatib yang istiqamah, solat-solat sunat dhuha, tahajjud, taubat, hajat, dan witir, berwirid dan berzikir, bersedekah dan menderma, membaca Al-Quran, puasa sunat isnin dan Khamis yang ikhlas dan berterusan dengan niat semata-mata kerana Allah SWT.

59. Akuri serta insafi hakikat bahawa ibadah Umrah yang bakal anda laksanakan itu amat memerlukan kekuatan dan keperkasaan fizikal bagi mengharungi penerbangan yang amat jauh dari tanah air ke Jeddah seterusnya menaiki bas ke madinah dan kemudiannya ke makkah di samping aktiviti berziarah di tempat-tempat bersejarah di sekitar Madinah dan Makkah.

60. Akui dan insafi betapa keadaan fizikal yang perkasa dan tegar diperlukan untuk menyempurnakan tuntutan ibadah Umrah yang lasak dan penuh cabaran seperti aktiviti bertawaf tujuh keliling Baitullah dan bersaie berulang alik tujuh kali antara Bukit Safa dan Bukit Marwah.

61. Mulakan ikhtiar dan usaha untuk meperkasakan keadaan fizikal diri terutamanya kaki dan lutut dengan membuat aktiviti saperti berjoggingatau berlari-lari anak, berjalan kaki sama ada ke pasar atau ke masjid, berlatih naik turun tangga, menunggang basikal, memperbanyakkan berdiri dengan kadar yang lama waktu bersolat dan membiasakan diri dengan bersujud dan ruku’ dengan kadar yang agak lama.

62. Berlatih berjalan sambil membaca bagi membiasakan diri serta membina kemahiran berkenaan agar serasi dan tidak janggal apabila dialikasikan sewaktu bertawaf dan bersaie kelak. Perlu diakui bahawa bukan mudah untuk menghafal doa-doa yang bakal disampaikan ke hadrat Allah SWT sewaktu bertawaf dan bersaie itu kerana ianya amat panjang dan sukar terutama doa dalam bahasa Arab itu.

63. Latih diri dengan suasana dan fenomena seperti beratur untuk menjelaskan bil-bil yang memerlukan proses berdiri dan menunggu lama. Dalam latihan tersebut bina ketahan fizikal dan mental untuk diaplikasikan pula sewaktu berhadapan dengan pihak imigresen, menaiki pesawat dan bas, beratur menunggu giliran mengambil makanan atau menunggu dan beratur melaksanakan ibadah Umrah kelak.

64. Bina sifat sabar dan tenang sewaktu menghadapi suasana beratur dan berbaris tersebut dengan berlatih mengisi kekosongan waktu dan suasana yang pastinya mengguris perasaan itu dengan berzikir, beristighfar, bertasbih, bertahmid dan bertahlil memuji-muji dan mengagungkan Allah SWT atau membaca buku-buku panduan Umrah yang dibekalkan oleh pihak agensi itu.

65. Akui hakikat bahawa ibadah Umrah yang bakal dilaksanakan itu menagih kemantapan serta kemapuhan kesihatan diri bagi mengharungi segala akti lasak dan rencam yang menyelirati ibadah Umrah berkenaan saperti yang dinyatakan di atas.

66. Diakui juga bahawa keadaan fizikal diri anda wajib memilki keuatan dan kekebalan untuk menghadapi fenomena penyakit yag sering melanda para jemaah Umrah saperti demam, batuk, selsema, sesak nafas, kejang otot-otot dan seumpamanya yang disebabkan oleh cuaca yang panas kering serta kehadiran ramai jemaah dari seluruh dunia islam yang dating dan membawa bersama beraneka jenis penyakit yang mudah berjangkit.

67. Berusaha mempertingkatkan mutu serta budaya pemakanan dengan memperbanyakkan memakan makanan-makanan yang berzat dan seimbang karbohidrat, protein, lemak dan vitaminnya seperti roti, nasi, susu, daging, ikan, sayur-sayuran hijau serta buah-buahan.

68. Berusaha memperkasakan kesihatan diri dengan menambahkan elemen tambahan dalam menu pemakanan seharian seperti protein, omega-3, vitamin C dan seumpamanya.

69. Bersedia membelanjakan sedikit wang khusus untuk membeli kesihatan kerana kesihatan yang ampuh dan kental mampu pula memperkasakan fizikal diri anda. Seterusnya fizikal yang kuat dan perkasa disertai pula oleh kesihatan yang mantap dan stabil mampu pula menjana minda yang waras dan rasional. Ketiga-tiga faktor ini saling kait mengait, sandar menyandar serta bantu membantu antara satu dengan yang lain dalam mencapai Umrah yang mabrur.

70. Kenal pasti penyakit yang terdapat pada diri sendiri dan berusaha utuk mengubati atau mengawal keadaannya dengan memakan ubat-ubat yang disyorkan oleh doktor dengan penuh disiplin kerana amat rugi mengunjungi tanah suci Makkah dan Madinah dalam keadaan kesihatan diri yang tidak stabil serta fizikal diri yang tidak mampu menyahut tuntutan aktiviti-aktiviti Umrah itu semaksima yang sepatutnya.









( http://harmoni2u.com/index.php?option=com_content&view=article&id=209&Itemid=347)

No comments: